Semasa saya memberikan kuliah kepada
satu kumpulan wanita yang terdiri dari golongan professional termasuk
para Datin di satu daerah, ketika itu, sedang heboh isu wanita seksi
ditangkap di sebuah kelab malam.
Lalu timbul isu hak peribadi wanita
untuk memakai apa jua pakaian yang diingininya, termasuk yang seksi.
Lalu, semasa kuliah ini saya mengambil peluang bertanya kepada kumpulan
wanita ini soalan mudah berikut ;
“Apakah agaknya sebab wanita ingin memakai seksi di khalayak ramai? Dengan skirt pendek, atau baju sendat dan nipis?”
Ada di antara mereka mula memberikan
pandangan, tetapi kerana terlampau ramai yang bercakap, saya tidak
mendengar butirannya. Apabila saya meminta seorang wakil, seorang
menjawab dengan yakin.
“Untuk nampak cantik ustaz…” katanya sambil tersenyum malu.
Saya bertanya pula : “Agaknya kepada siapa nak ditunjukkan kecantikan itu?”
“Tentulah kepada kaum lelaki ustaz, kaum wanita pun iye juga..” sambungnya.
“Baiklah, jika lelaki tersebut
sudah tergoda dengan kecantikan tu, lalu ingin menyentuh bahagian indah
yang dilihatnya boleh tak ?” Tanya saya menguji.
” Isyh, ustaz ni.. tentulah tak boleh ustaz, dah kira ‘sexual harassment’ (gangguan seksual) tu ustaz” dengan yakin sekali hujahnya kali ini.
“Jika demikian, tidakkah para
wanita merasakan, tindakan mereka yang memaparkan bahagian yang menarik
di tubuh mereka itu juga merupakan gangguan seksual kepada lelaki?” Tambah saya.
” Erm, macam mana tu ustaz?” Tanya mereka dengan nampak sedikit bingung sambil berkerut dahi.
“Ye la, bila orang lelaki yang dah
naik syahwatnya tu, kerana kecantikan peha wanita tu contohnya, mestilah
terganggu syahwatnya, lalu terdetik keinginan seksualnya secara tidak
terkawal..”“Kerana itu saya katakan berpakaian seksi adalah suatu bentuk gangguan seksual kepada orang lelaki di sekelilingnya”
“Cuba bayangkan, kucing yang lapar
diacah-acah dengan ikan ‘fresh’ yang digoyang-goyankan di hadapannya
tentu geram kucing tu, malah silap hari bulan, tentu diterkamnya muka
orang yang mengacah juga” Tambah saya lagi memberi keyakinan.
“Tapi perlu diingat, tak semua
kucing akan terkam, hanya yang amat lapar dan liar je, demikian juga
lelaki, tak semua lelaki gagal kawal nafsunya, tetapi tak dinafikan
bahawa ramai juga yang gagal dan liar”
“Akhirnya, kerana suasana yang tak
sesuai, mungkin kerana ramai orang dan di tempat awam pula,
terselamatlah wanita seksi itu dari terkaman lelaki liar tadi.
Masalahnya, anak-anak perempuan kecil berumur 7 hingga 12 tahun yang
mungkin menjadi mangsa tempiasan nafsu lelaki begini. Dan di ketika itu,
sama ada wanita itu bertudung, berjubah, kanak-kanak dan sebagainya
tidak lagi mampu menahan nafsu si lelaki seperti ini, asalkan suasana
cukup sesuai (sunyi dan jauh dari pandangan ramai), akan dilepaskan
nafsunya secara kekerasan” Terang saya dengan panjang lebar, mereka mengganguk dengan wajah serius kali ini.
Lebih terangnya, sama-sama fikirkan
adakah jika para wanita yakin bahawa jika anda berada di hadapan Baginda
SAW hari ini, adakah Rasulullah akan tersenyum atau sebaliknya?Jika
sebaliknya, bagaimana pula peluang wanita seperti ini untuk mendapat
Syafaat Nabi SAW di akhirat kelak?Benar, mungkin seseorang wanita itu
berjaya meraih pandangan istimewa dari kaum lelaki hasil pendedahan
kecantikannya yang memukau.
Tapi keseronokan itu hanyalah palsu
dan sementara sahaja, serta tidak menambah sebarang nilai buat kehidupan
kekal di Barzakh dan Akhirat selain menambahkan tahap azab sahaja. Apa
yang jelas, pakaian yang ditunjukkan oleh wanita Arab yang solehah
dengan penutupan aurat yang sempurna di zaman ini sudah tentu boleh
memberi sedikit info kepada kita bahawa inilah mugkin pakaian yang
dipakai oleh wanita Islam di zaman Nabi serta mendapat redha dari mata
dan hati baginda SAW.Tidakkah para wanita hari ini juga berminat meraih
redha dari mata dan hati baginda SAW?
BENARKAH MENUTUP AURAT DAPAT MENGELAK DARI WANITA DISAKITI?
Ramai wanita professional dan yang
kurang didikan agama hari ini mencebik bibirnya apabila tajuk ini
disebutkan, mereka tidak percaya langsung fakta yang saya sebut diatas.
Malah ada yang berpendapat lelaki sengaja melakukan perkara buruk kepada
wanita kerana ingin menunjukkan kekuasaannya terhadap wanita. Kerap
benar saya dengar hujah ini di media massa.
Hakikatnya, sebagai hamba Allah SWT
dan umat Rasulullah SAW kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith
bagi mendapat kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu
perkara itu. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman :-
“Hai Nabi! Katakanlah kepada
isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min
semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka)
mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai
wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu.” (al-Ahzab: 59)
Jilbab, iaitu pakaian yang lebarnya
semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh
badannya.Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan “Sebahagian
perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan
sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga
mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina,
kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan kepada orang-orang
perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua
bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak
kelihatan.
Dengan demikian secara zahirnya
pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah)
serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau
orang-orang munafik.
Jadi jelasnya, bahawa ayat tersebut
memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini adalah kerana bimbang
wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian
orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari
perempuan itu sendiri atau karena tidak percaya kepada mereka,
sebagaimana anggapan sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana
sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan
penuh lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering menarik
perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka
berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit pindaan)
Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa
salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah SWT
adalah sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam
dari diganggu dan disakiti.
BANTAHAN KAUM WANITA
“Eleh, tetapi hari ini ramai juga
wanita bertudung yang kena rogol, malah setengahnya kena bunuh dijerut
dengan tudungnya pulak, kanak-kanak pun kena rogol dan bunuh.
Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la ustaz.
Ha.. Nacam mana ustaz nak jawab tu?Hujah balas yang selalu saya dengar bila isu ini ditimbulkan.
Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la ustaz.
Ha.. Nacam mana ustaz nak jawab tu?Hujah balas yang selalu saya dengar bila isu ini ditimbulkan.
“Pernah tak anda merasa amat marah sepanjang hidup anda ?” Tanya saya kembali.
“Pernah juga ustaz.. Kenapa ustaz, apa kaitannya?” Bingung sekali lagi mereka nampaknya.
“Biasanya bila seseorang itu sedang
amat marah, sempat tak agaknya ia berfikir bahaya atau tidak tindakan
yang dibuatnya sebagai contoh; ada orang yang sedang marah kerana bising
tangisan kanak-kanak, maka ditendang (seperti berita yang saya baca di
akhbar baru-baru ini), ditolak jatuh tangga, ditekup wajah kanak-kanak
itu dengan bantal dan macam-macam lagi bagi menghilangkan kemarahan atau
gangguan bising itu, setelah beberapa ketika mungkin baru seolah-olah
dia tersedar, lalu cemas dan mungkin menyesal”
“Demikianlah juga nafsu jahat, bila
ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat sama ada kepada
pakaian dan umur wanita mahupun isteri orang dihadapannya, sasarannya
hanya mendapatkan hajat jahatnya, kerana itulah wanita yang menutup
aurat dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan juga terancam, tanpa
dapat dinafikan juga peranan vcd, laman, akhbar, majalah dan novel lucah
“ terang saya.
“Tapi macam mana pulak ayat tadi kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita dari disakiti ?” Balas mereka dengan penuh minat kali ini.
“Jika kita lihat dengan teliti,
ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada seluruh kaum wanita. Ini
bermaksud, jika sebahagian besar wanita tidak mentaatinya dan memakai
pakaian seksi pula. Di ketika itu, faedah dan kebaikan dari tutup aurat
bagi menjaga semua kaum wanita dari disakiti secara umum akan tergugat
dari mencapai matlamat umumnya. Sebenarnya, ayat itu nak beritahu bahawa
seluruh wanita bertanggung jawab menjaga keselamatan kaum sejenisnya
dengan menjaga aurat masing-masing” Jelas saya
“Maka bila ada yang seksi, ini
bermakna, ia sedang mengancam kaum sejenisnya yang lain dan di tempat
lain kerana telah menghidupkan nafsu kebinatangan lelaki jahat yang
sedang tidur”
PENGALAMAN MENUMPANG KE MASJID
Saya masih ingat, dalam perjalanan ke
Masjid untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah Masjid di Ibu Negara.
Pejabat saya di Jalan Sultan Ismail dan pada hari tersebut saya
menumpang kereta seorang rakan. Bersama kami beberapa rakan sekerja yang
lain. Tiba-tiba semasa berada di lampu trafik, tiba-tiba suasana dalam
kereta agak bising dengan bunyi..uiiiii..oii…peh..mengancam…dan
sebagainya, diikuti dengan kata-kata :
“Astaghfirullah..korang ini teruk betul la, kan ustaz ada dengan kita ini..” Kemudian disambut dengan kata rakan di belakang, “ye la..ini la yang bagus kita pergi masjid dengan ustaz, terjaga sikit”
Anda tentu dapat menggagak apa yang
dilihatnya? Alhamdulilllah saya tidak sempat melihat apa-apa kerana
sedang membelek pelbagai mesej soalan hukum hakam tertunda yang memenuhi
telefon bimbit saya. Bila saya tanya, kenapa? dengan malu-malu mereka
menyalahkan sesama sendiri akibat ‘gatal mata’ melihat skirt-skirt
pendek wanita KL, sama ada wanita Melayu mahupun Cina disekitar kawasan
segitiga emas itu.
Cuba bayangkan, perasaan lelaki-lelaki
ini. Mereka dalam perjalanan ke masjid, semuanya juga telah berumah
tangga, tapi nafsu masih teransang apabila didedahkan kepada
permandangan seperti itu. Jahatkah mereka?
“Gatal dan dah miang sangat kot orang lelaki ni, memang teruk mereka ni, tak sangka, harap suami kita tak macam ni” mungkin itulah yang akan dikatakan oleh sebahagian besar pembaca wanita sekarang ini.
Tapi itulah cabaran terbesar lelaki
wahai kaum wanita, iaitu ANDA, wanita dan seluruh kecantikan yang
dikurniakan Allah SWT kepadanya sebagai ujian, ia disebutkan oleh Allah
SWT :
زين للناس حب الشهوات من النساء والبنين ..
“Dihiaskan (diuji) bagi manusia itu, nafsu syahwat dan keinginan serta kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta…”
Ayat ini dengan jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi SAW juga pernah bersabda :
ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء
Ertinya : “Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita” (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )
ANTARA LAWAK DAN HUKUM
Saya juga masih ingat, sewaktu di
tempat lama, rakan-rakan sepejabat sering kali apabila mereka terlihat
aurat wanita sebegini akan disebut..“tak pe ustaz kan, pandangan pertama tak berdosakan?”Sedih saya melihat sikap sebahagian umat Islam hari ini yang kerap mempermainkan hukum hakam akibat kejahilan mereka.
Sebuah hadith : “Dari Jarir bin
Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang
melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi:
Palingkanlah pandanganmu itu!” (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan
Tarmizi) – Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya
sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.
Apabila ia adalah sebuah hukum, maka
adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan apa jua
berkaitan dengannya. Nabi SAW bersabda :-
ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب
Ertinya : “Sesungguhnya seorang
hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi
dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di
dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)
DON’T JUDGE A BOOK BY ITS COVER
Ungkapan ini kerap saya dengari, saya
yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang
tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci
walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.
“Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi” Katanya memberi buah fikirannya.
“Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok” tambah wanita ini lagi.
Benarkah hujah mereka? Benarkah
penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ? Ada juga yang sudah
semakin ‘advance’ hujahnya lantas berhujah dengan sebuah maksud hadith
Nabi yang sahih iaitu :
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu” (Riwayat Muslim)
Simpati bercampur kesal saya mendengar
bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk
menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan
kehendaknya sahaja.
Seorang pekerja yang dijumpai oleh
majikannya sedang bermain ‘game’ semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen
yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: “Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu”
Lalu jawab si pekerja : “Saya luaran je nampak main ‘game’ boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang”
Adakah anda rasa si boss boleh
menerima cakap pekerjanya itu ? Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati
seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ?
Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan
suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya
neraca pemikiran kita semata-mata.Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi
SAW pernah bersabda ertinya :
“Ketahuilah, bahawa di dalam diri
anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik
seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu,
ketahuilah, ia adalah hati” (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadith ini, menurut neraca
Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya
dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi
kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran
hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam,
maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu
neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah sama
ada hatinya bertujuan kerana Allah atau selainnya seperti sekadar
menunjuk-nunjuk sahaja.
Justeru, ‘we can judge a book by its cover in certain cases’ iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what’s inside the heart of a person’.
Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :
Ertinya : Sesungguhnya aku hanya
manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan
olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujah dari sebahagian
lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang ku
dengari sahaja. Barang siapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman
itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam
berhujah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal
menjadi sepotong api neraka” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )
Hadith ini dengan jelas menunjukkan
seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti
zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa
menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana
mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.
Kaum wanita perlu menyedari bahawa
dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh
dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita
bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap
dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa
yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari.Ia berdasarkan sabda Nabi SAW :
Ertinya : Sesiapa yang mempelopori
sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang
membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya..” ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )
Termasuklah dalam erti mempelopori,
apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang
menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu
juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang.Adakah
hati orang sebegini boleh dikira baik?Setelah gunungan dosa mengaratkan
hatinya?
Sesungguhnya Allah itu maha adil dan
maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan
mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan
kecuali,Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga
dan Neraka juga benar.Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih
seolah meraguinya?
Sekian
Zaharuddin Abd RahmanSumber Ilustrasiaku.com
Yeke??Kinyau
No comments:
Post a Comment