Yeke??Kinyau: Kita dikurniakan mata dan telinga untuk melihat dan mendengar,kita dikurniakan akal yang membezakan kita dari binatang untuk berfikir dan kita diberi musibah dan peringatan supaya kita belajar dan menjadi yang lebih baik. Shisa....penulis tahu semua orang pernah dengar dan tahu benda tu kan??so hari ni kita tengok apakah hukumnya dari segi Islam. Fatwa telah mengharamkan penggunaan tembakau telah dikeluarkan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal-Ehwal
Islam Malaysia Ke-37 (MFK 37) pada 23 Mac 1995 berdasarkan kepada berbagai fakta yang
pada umumnya mengambilkira kesan-kesan negatif yang diperolehi daripada
tabiat menghisap rokok, baik daripada segi perubatan, sosial mahupun ekonomi. So kita tengok hukum bagi "shisha" pula.
Penggunaan shisha semakin diminati oleh sebahagian masyarakat kita.
Menurut satu catatan sejarah, alat shisha ini telah dicipta di India
oleh seorang doktor sebagai satu cara atau alternatif yang dapat
mengurangkan bahaya menghisap tembakau. Menurut doktor tersebut, asap
tembakau yang disedut itu perlu ditapis terlebih dahulu melalui satu
bekas air agar ia tidak mendatangkan bahaya kepada penggunanya. Maka
ramailah orang percaya bahawa ia selamat digunakan berbanding dengan
menghisap rokok.
Kepercayaan lama ini masih tersebar dan mempengaruhi orang yang baru
mengenal atau menggunakannya hinggalah ke hari ini. Namun sejauh manakah
kebenaran kepercayaan ini? Adakah kemudharatan menggunakan shisha lebih
ringan daripada kemudharatan menghisap tembakau dengan rokok?
Apakah Sebenarnya Shisha Itu?
Shisha (Waterpipe) adalah sejenis alat yang digunakan untuk menghisap
tembakau dan bahan-bahan lain seumpamanya. Ia digunakan oleh puak asli
di Afrika dan Asia lebih kurang empat
kurun yang lalu. Secara umumnya alat shisha terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu:
Bahagian kepala (head), yang merupakan sebiji mangkuk (yang diperbuat dari tanah liat) untuk meletakkan tembakau dan arang.
Bahagian badan atau tengah (body), merupakan penghubung antara bahagian
kepala dan bahagian bawah dan kebiasaannya ia diperbuat daripada bahan
logam ataupun kayu.
Bahagian bawah yang merupakan sebiji mangkuk air (water bowl/water
chamber). Biasanya ia diisikan dengan air tetapi kadang kala ia juga
boleh diisikan dengan susu, jus buahbuahan ataupun wain. Bekas air ini
selalunya diperbuat daripada kaca.
Hos dan alat penyedut (mouthpiece) yang digunakan untuk menyedut asap
keluar daripada alat shisha tersebut. Namun begitu terdapat juga
beberapa perbezaan dalam reka bentuk shisha ini mengikut tempat serta
adat penduduk yang menggunakannya. Sebagai contoh, ada yang mempunyai
hos dan alat penyedut yang lebih dari satu dan boleh dikongsi berdua
atau lebih dan juga perbezaan pada bentuk dan saiz bahagian kepala atau
bekas airnya.
Bahkan nama bagi shisha ini juga berbeza mengikut tempat atau negeri.
Misalnya di negeri-negeri di kawasan Mediterranean Timur (Turki, Syria
dan lain-lain) ia dikenali dengan nama narghile, di Mesir dan di
sesetengah negeri Afrika Utara pula ia dikenali sebagai shisha atau goza
dan di India ia dipanggil hookah. Dalam Bahasa Inggeris ianya dipanggil
waterpipes tetapi nama shisha lebih dikenali dan sering digunakan.
Jenis Tembakau Shisha
Terdapat dua jenis tembakau shisha iaitu yang dipanggil mu‘assal معسل) )
dan ‘ajami ( عجمي ). Tembakau mu‘assal terdiri daripada campuran
tembakau, buah-buahan dan bahan manisan seperti sirap daripada tebu
ataupun madu. Ia juga ditambah dengan glycerin, bahan perisa serta
pewarna yang lain. Tembakau mu‘assal ini basah dan melekit dan apabila
digunakan akan mengeluarkan bau yang manis dan nyaman seperti bau
buah-buahan dan kebanyakan pengguna lebih suka menggunakan tembakau
jenis ini.
Tembakau ‘ajami pula selalunya tidak berperisa, kering dan lebih asli.
Sebelum digunakan ia perlu dicampurkan dengan air sehingga ia boleh
dicanai atau dibentuk dan harganya lebih mahal.
Cara Menggunakan Shisha
Cara menggunakannya ialah dengan membakar tembakau shishaitu dengan
meletakkan bahan pembakar seperti arang (sama ada arang kayu atau arang
campuran) kerana tembakau shisha ini tidak dapat terbakar dengan
sendirinya secara berterusan. Kemudian asap tembakau itu disedut dengan
menggunakan hos atau alat penyedut.
Tetapi perlu diingat bahawa apabila pengguna menyedut asap daripada alat
shisha ini, dia bukan sahaja menyedut asap daripada tembakau tetapi
juga asap daripada arang, yang masing-masing
mengandungi bahan kimia dan toksik yang terhasil dari pembakaran tersebut.
Kesan Shisha Menurut Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
Menurut satu dokumen yang bertajuk “Tobacco: Deadly In Any Form or
Disguise” yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
sempena Hari Tanpa Tembakau
Sedunia 2006, bahawa tembakau walau dalam bentuk apa pun tetap boleh
mendatangkan bahaya dan mudharat kepada penggunanya, termasuklah shisha.
Ini kerana satu sesi penggunaan shisha (lebih kurang 20-80 minit) akan
mendedahkan penggunanya kepada asap yang lebih banyak dalam masa yang
lebih lama berbanding daripada sebatang rokok (lebih kurang 5-7 minit),
dan asap yang terhasil dari shisha tersebut mengandungi bermacam-macam
bahan toksik yang diketahui boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit
jantung dan berbagai jenis penyakit yang lain.
Manakala asap daripada shisha (yang terhasil dari pembakaran tembakau
dan arang) mengandungi gas berbahaya seperti karbon monoksida. Selain
itu ia juga mengandungi hidrokarbon (benzene dan benzo-pyrene) yang
dikatakan bahan penyebab kanser tetapi
kadarnya belum dapat dipastikan.
Dari hasil penyelidikan yang dijalankan, penggunaan shisha juga
dikaitkan dengan berbagai penyakit serius seperti penyakit jantung
koronari, atherosclerosis, penyakit sistem pernafasan yang kronik,
kanser mulut, kanser pundi kencing dan juga saluran darah tersumbat
(clogged arteries).
Selain itu penggunaan shisha juga dikaitkan dengan beberapa jenis
penyakit berjangkit seperti turberculosis (tibi), hepatitis, herpes,
jangkitan virus di bahagian pernafasan dan bahkan juga HIV.
Walaupun kajian mengenai shisha ini belum dilakukan secara intensif
sebagaimana yang dilakukan terhadap rokok, namun kajian awal telah
menunjukkan bahawa shisha itu boleh membawa risiko dan bahaya yang sama
yang disebabkan oleh rokok. Ini adalah berdasarkan kesimpulan yang telah
dibuat pihak WHO dan disokong oleh data saintifik, telah menyatakan:
Menggunakan shisha untuk menghisap tembakau boleh menyebabkan bahaya
kesihatan yang serius kepada perokok dan juga orang lain yang terdedah
kepada asap tembakau tersebut.
Apa yang jelas menurut hasil kajian dan data yang ada mengatakan bahawa
shisha boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok dan ia
bukanlah satu alternatif yang selamat bagi rokok. Hakikatnya, walaupun
dalam bentuk dan cara yang berbeza menghisap shisha adalah menghisap
tembakau dan kajian sains telah membuktikan bahawa tembakau dan
pendedahan kepada asapnya boleh menyebabkan bermacam-macam penyakit,
bahkan
boleh membawa maut.
Larangan Memudharatkan Atau Membunuh Diri
Agama Islam sebagai ugama sejahtera sangat menghargai nyawa serta
kehidupan dan mementingkan kesihatan, keafiatan, kecergasan dan
kekuatan, dan kesemuanya itu bagi tujuan yang satu iaitu untuk beribadat
kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.
Kerana itu Islam melarang umatnya daripada memudharatkan diri mereka
sendiri, apatah lagi membunuh diri sendiri. Larangan ini banyak
disebutkan dalam ayat-ayat al-Qur’an antaranya firman
Allah Subhanahu Wa Ta‘ala:
“Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang
lain). Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu.” (Surah an-Nisa
29)
FirmanNya lagi:
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu
sendiri ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)
Dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga jelas melarang
umatnya daripada membahayakan diri sendiri dan juga orang lain. Sabda
Baginda :
“Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Ayat al-Qur’an dan hadits ini jelas melarang manusia dari membunuh dan
memudharatkan dirinya sendiri dan juga orang lain. Kerana seseorang
manusia itu tidaklah memiliki dirinya
sendiri sehingga dia boleh sesuka hati melakukan apa sahaja yang
dikehendakinya. Bahkan dia adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.
Kehidupannya adalah hak Allah Subahanahu Wa Ta‘ala kerana Dialah yang
mengurniakannya dan Dialah yang berhak ke atasnya. Begitu juga kesihatan
seseorang, ia merupakan kurnia dan nikmat Allah kepadanya.
Oleh kerana itu haram seseorang menamatkan riwayat hidupnya sendiri
(membunuh diri) dan memudharatkan kesihatannya padahal dia tahu
bahayanya, kerana manusia dan kehidupannya adalah milik Allah Subhanahu
Wa Ta‘ala.
Tidak ada perbezaan antara orang yang membunuh diri secara mengejut
dengan orang yang membunuh diri secara perlahanlahan, seperti dengan
memakan racun. Ini kerana kedua-duanya mempunyai tujuan yang sama, yang
berbeza hanyalah segera ataupun lambat. Tetapi natijahnya adalah sama
iaitu memudharatkan atau menyebabkan kematian. Kedua-dua cara ini sama
tertegahnya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.
Untuk memelihara kesejahteraan umatnya, Islam juga telah menetapkan
beberapa kaedah bagi menolak bahaya dan kemudharatan, antara kaedah yang
digunakan para ulama dalam
menentukannya ialah :
“Kemudharatan itu dihilangkan (dihindarkan).”
Maka jika sesuatu benda itu sabit mendatangkan mudharat, kerosakan dan
kebinasaan, hendaklah ia dijauhi dan dihindari. Memakan, meminum dan
juga menghisap benda-benda yang
memudharatkan hendaklah dielakkan bahkan ia dihukumkan haram. Tidak kira
sama ada bahaya atau mudharat tersebut datang secara perlahan-lahan
atau serta merta, kerana para ulama telah mengatakan bahawa bahaya
secara perlahan-lahan juga adalah sama dengan bahaya yang serta merta,
kedua-duanya perlu dielakkan.
Jika dilihat berdasarkan hasil kajian yang ada setakat ini menyatakan
bahawa shisha itu boleh membayahakan kesihatan sebagaimana rokok, maka
ia adalah haram. Kerana apabila syara‘
mengharamkan al-khaba’its (benda-benda yang keji, jijik, buruk dan
seumpamanya) atau perkara yang merbahaya atau memudharatkan, ia adalah
berdasarkan kaedah:
“Apa jugamakanan atau minuman yang mengandungi unsur-unsur alkhaba’its adalah haram.”
Yang mana kaedah ini didasarkan kepada ayat-ayat al-Qur’an serta hadis
di atas. Maka apabila shisha itu memudharatkan, dan setiap yang
memudharatkan itu haram dimakan atau diminum, maka menghisap tembakau
menggunakan shisha itu juga adalah haram.
Menyentuh mengenai perkara memakan dan meminum benda yang memudharatkan
dan merosakkan tubuh badan, dalam al-Qur’an Allah Subhanahu Wa Ta‘ala
telah menerangkannya dengan terang dalam firmanNya:
“Dan Dia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk.” (Surah al-A‘raf 157)
Antara maksud atau huraian perkataan al-khaba’its ialah sesuatu yang
menjadi sebab kerosakan dan bahaya kepada tubuh badan atau dari
sumber-sumber yang memudharatkan. Walaupun perkataan al-khaba’its dalam
ayat ini ditujukan kepada (memakan) daging babi dan riba, namun menurut
al-Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullahu Ta‘ala ketika mengulas ayat di
atas adalah seperti berikut:
“Mengikut pendapatku: Setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat
(tabiat semula jadi) dan dianggap kotor oleh jiwa, adalah memakannya
boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudharatan. Dan asal (dasar)
hukum segala yang memudharatkan itu haram. Oleh yang demikian, maka asal
(dasar) hukum setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat juga adalah
haram, melainkan benda-benda yang mempunyai bukti untuk dikecualikan.”
Hukum Penggunaan Shisha
Berdasarkan hasil kajian dan penyelidikan awal mengenai shisha,
menunjukkan bahawa ia boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti
rokok, bahkan ia juga dikatakan boleh menyebabkan penyakit yang sama
yang berkaitan dengan menghisap rokok. Walaupun kajian yang lebih
terperinci masih dijalankan dan belum ada keputusannya, namun hasil
keputusan itu nanti tidak mungkin menyatakan bahawa shisha itu selamat
digunakan dan tidak membahayakan kesihatan kerana menurut kajian awal
(preliminary research) sahaja telah menunjukkan bahayanya terhadap
kesihatan.
Maka jelaslah bahawa menghisap tembakau menggunakan shisha membawa
bahaya kepada kesihatan dan boleh menyebabkan berbagai penyakit, maka
hukum menghisapnya adalah haram. Ini kerana sebagaimana yang telah
dihuraikan sebelum ini, setiap yang boleh memudaratkan atau mendatangkan
bahaya, tidak kira secara perlahan atau serta merta, hukumnya adalah
haram.